Program Teksi MADANI Bantu Kurangkan Kos Operasi Pemandu
KUCHING: Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang diperluas ke Sarawak memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban operasi pemandu, khususnya melibatkan kos penyelenggaraan kenderaan serta urusan pemeriksaan berkaitan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, aspek penyelenggaraan diberi perhatian menerusi program berkenaan berikutan kos operasi menjadi antara cabaran utama yang dihadapi pemandu teksi dalam memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Kita memahami sebenarnya apa yang mereka hadapi. Sebab itulah program yang baharu ini termasuk penyelenggaraan, memudahkan dan membantu mereka pergi ke PUSPAKOM dan sebagainya supaya ia tidak menjadi halangan kepada mereka.
“Kita cuba memudahkan kepayahan mereka sebelum ini, termasuklah penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Kompleks UNIFOR di sini pada Jumaat.
Datuk Hasbi menambah, pendekatan tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pemandu untuk memperbaharui kenderaan, malah menyediakan sokongan bagi membantu mereka meneruskan operasi secara lebih mampan dan berdaya tahan.
Program berkenaan turut menyediakan penerangan mengenai pelbagai kemudahan, insentif, pembiayaan, perlindungan sosial serta peluang menjana pendapatan tambahan kepada pemandu teksi, e-hailing dan kereta sewa.
Di Sarawak, seramai 446 pemandu teksi, 7,326 pemandu e-hailing dan 170 pengusaha kereta sewa berdaftar dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.
Dalam pada itu, Datuk Hasbi berkata, peluang pembaharuan kenderaan turut memberi ruang kepada pemandu memilih model yang bersesuaian dengan keperluan operasi serta kemampuan masing-masing.
Katanya, Proton S70 merupakan antara pilihan kenderaan yang ditawarkan di bawah program berkenaan, namun pemandu juga boleh mempertimbangkan model lain yang bersesuaian.
Mengenai kemungkinan pengoperasian teksi secara bersyarikat di Sarawak, beliau berkata, perkara tersebut perlu mengambil kira kepentingan pemandu teksi sedia ada bagi memastikan sebarang perubahan mampu memberi manfaat kepada industri secara menyeluruh.
“Kalau sekiranya ada syarikat yang mahu beroperasi seperti di Semenanjung, saya fikir mereka mesti libatkan semua teksi sedia ada dan melihat sama ada perkara ini boleh memajukan industri teksi kita di Sarawak.“ katanya.
Program yang disertai 150 peserta terdiri daripada pemandu teksi, e-hailing dan kereta sewa, wakil agensi kerajaan serta pemain industri itu merupakan kesinambungan pelaksanaan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Sarawak.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian, Timbalan Setiausaha Bahagian Darat, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Dr Azrin Abdul Majid, Pengarah LPKP Sarawak, Cornelia Wong Cui, Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik MOT, Chong Chi Fam, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak, Norizan Jili serta Pengarah LPKP Sabah, Dairin Unsir. -EDISI UKAS