Jalan Ilmu Desa Senadin Dinaik Taraf, Risiko Banjir Bakal Dikurangkan
MIRI: Jalan Ilmu di Desa Senadin dinaik taraf menerusi projek bernilai RM1.481 juta sebagai langkah memperbaiki kerosakan akibat banjir besar yang melanda kawasan berkenaan awal tahun ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan risiko banjir berulang dengan menaikkan aras jalan kira-kira setengah meter.
“Jalan Ilmu ini merupakan antara kawasan yang serius terjejas akibat banjir kerana terdapat bahagian jalan yang rendah.
“Melalui projek ini, aras jalan akan dinaikkan kira-kira setengah meter bagi mengurangkan risiko jalan dinaiki air pada masa akan datang,” katanya ketika meninjau tapak projek berkenaan, di sini pada Jumaat.
Dato Sri Lee berkata, projek yang dilaksanakan dalam tempoh empat bulan dari 11 Ogos hingga 10 Disember 2026 itu merangkumi kerja membaik pulih dan menaik taraf jalan, termasuk pembinaan kerb konkrit, penambahan ‘road base’ sepanjang 510 meter, pemasangan premix sepanjang 1,245 meter, pembinaan bahu jalan serta pengecatan garisan jalan.
Katanya, usaha pemulihan turut diperluaskan ke beberapa jalan lain di Desa Senadin, Permyjaya dan Tudan yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Sehubungan itu, beliau berkata, peruntukan khas tambahan berjumlah kira-kira RM10 juta telah diperoleh bagi melaksanakan kerja penurapan semula dan pemulihan jalan di kawasan terbabit.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.78 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penurapan semula 7 jalan di Desa Senadin, manakala RM3.07 juta bagi 8 jalan di Permyjaya dan RM1.15 juta bagi kerja penurapan 5 jalan di kawasan Tudan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menjelaskan peruntukan berkenaan merupakan peruntukan khas yang dipohon susulan kerosakan akibat banjir dan bukan daripada dana penyelenggaraan biasa Majlis Bandaraya Miri (MBM).
“Pihak majlis perlu menyediakan reka bentuk dan melalui proses tender sebelum kerja dapat dimulakan.
“Untuk peruntukan RM10 juta ini, proses tender dijangka dipanggil pada minggu pertama atau kedua September, dan kerja-kerja penurapan dijangka boleh dimulakan pada Oktober,” ujarnya.
Beliau berharap keseluruhan kerja-kerja penurapan dan pemulihan jalan tersebut dapat disiapkan sebelum penghujung tahun ini demi memastikan penduduk menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik dan selamat.
Kerajaan Sarawak, katanya, akan terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur asas, khususnya jalan raya, bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna dan mengurangkan kesan banjir terhadap penduduk setempat. -EDISI UKAS