Sambutan Bulan Hantu Jadi Wadah Semarak Semangat Kebajikan, Keharmonian Komuniti
MIRI: Sambutan Bulan Hantu (Hungry Ghost Festival) anjuran Persatuan Penganut Dewa Some Shak Lung Kung Miri bukan sahaja mengekalkan tradisi masyarakat setempat, malah menjadi wadah menyemarakkan semangat kebajikan dan keprihatinan terhadap komuniti.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penglibatan masyarakat dalam kegiatan kebajikan yang dianjurkan sempena sambutan tersebut mencerminkan nilai kemanusiaan dan semangat saling membantu.
Menurut beliau, pertubuhan keagamaan dan masyarakat bukan sahaja berperanan memelihara tradisi serta kepercayaan yang diwarisi, malah turut mempunyai tanggungjawab dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Perkara yang amat menggalakkan ialah masyarakat dapat menggabungkan kepercayaan dengan amalan kebajikan melalui tindakan nyata untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, sekali gus membantu lebih ramai golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Bulan Hantu di Tokong Persatuan Penganut Dewa Some Shak Lung Kung Miri, pada Jumaat.
Menurut Datuk Sebastian lagi, pembangunan komuniti bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, tetapi turut memerlukan keprihatinan, sikap saling membantu dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat kebajikan dan saling membantu yang dizahirkan menerusi sambutan berkenaan dapat terus diperkukuh bagi membentuk komuniti yang lebih prihatin, harmoni dan bersatu padu. -EDISI UKAS