Cuaca Tidak Menentu Tuntut Kesiapsiagaan Berterusan
LIMBANG: Ketidaktentuan cuaca ketika ini menuntut masyarakat sentiasa berwaspada dan meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana seperti ribut dan hujan lebat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu memerlukan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Walaupun kita berdepan fenomena El Nino yang biasanya dikaitkan dengan cuaca panas dan kering, namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya apabila ribut dan hujan lebat boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Tunai Kepada Mangsa Ribut, di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu, kejadian ribut pada 19 Ogos lalu telah mengakibatkan kerosakan beberapa rumah termasuk bumbung yang tercabut, sekali gus menjejaskan kehidupan penduduk terlibat.
Katanya, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diarahkan untuk membuat penilaian segera terhadap kerosakan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
Tambah beliau, laporan lengkap akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan bantuan lanjut disalurkan kepada mangsa yang terjejas.
Pada majlis tersebut, setiap rumah yang terjejas menerima bantuan tunai sebanyak RM3,000 bagi meringankan beban akibat kerosakan yang dialami.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk JPBD Lawas, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL), Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bahagian Limbang serta Pusat Khidmat Masyarakat kawasan.
Hadir sama, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan wakil Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bahagian Limbang, Wahab Abu Bakar. -EDISI UKAS