Kerajaan Sarawak Terus Sokong Festival Berasaskan Komuniti
SIBU: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) akan terus menyokong penganjuran Festival Air Sibu Jaya yang dilihat mampu memperkukuh perpaduan serta hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan generasi.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival seumpama itu bukan sekadar menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada masyarakat, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan institusi keluarga dan semangat kebersamaan.
Menurut beliau, konsep berasaskan komuniti yang diterapkan dalam Festival Air Sibu Jaya membolehkan semua lapisan masyarakat terlibat secara langsung tanpa mengira kaum.
“Antara perkara yang paling menarik mengenai Festival Air Sibu Jaya ialah ia berasaskan komuniti atau ‘community-based’.
“Semua lapisan masyarakat terlibat bersama tanpa mengira kaum, termasuk masyarakat Dayak, Melayu, Melanau dan Cina,” katanya ketika ditemui pada Festival Air Sibu Jaya di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, pada Sabtu.
Beliau berkata, sambutan terhadap festival itu juga semakin menggalakkan dari tahun ke tahun apabila lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan penganjurannya pada tahun ini.
Katanya, penglibatan masyarakat yang menyeluruh membuktikan program berasaskan komuniti mampu menjadi medium berkesan untuk merapatkan hubungan antara penduduk setempat.
Pada masa sama katanya, festival berkenaan turut memberi peluang kepada anggota keluarga daripada pelbagai peringkat umur untuk bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan.
“Kita dapat melihat penyertaan daripada kanak-kanak, ibu bapa sehingga kepada datuk dan nenek yang hadir bersama-sama.
“Festival seperti ini menyediakan ruang untuk semua anggota keluarga berkumpul dan meluangkan masa bersama,” ujarnya. - EDISI UKAS