Kemahiran ‘Barbering’ Buka Laluan Belia Senadin Bina Kerjaya
MIRI: Kemahiran dalam bidang ‘barbering’ mampu menjadi laluan kepada golongan muda untuk membina kerjaya dan menceburi bidang keusahawanan secara berdikari.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkembangan peserta program WOW Smartcut Gaya Senadin yang kini mampu membuka premis sendiri membuktikan potensi bidang kemahiran sebagai sumber kerjaya.
Menurutnya, kejayaan Alang yang kini mengusahakan ‘Alang’s Barber Shop’ menunjukkan latihan kemahiran yang disusuli bimbingan mampu membantu golongan muda meningkatkan keyakinan dan mengembangkan potensi diri.
“Pembangunan belia bukan sekadar menyediakan latihan kemahiran, sebaliknya perlu disusuli dengan bimbingan bagi membantu mereka berkembang dalam ekosistem pekerjaan dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke Alang’s Barber Shop, di sini pada Jumaat.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi membolehkan golongan muda membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran serta melihat bidang kemahiran sebagai laluan kerjaya yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.
Pembukaan premis berkenaan menjadi antara hasil program pembangunan kemahiran apabila seorang peserta mengambil langkah seterusnya daripada memperoleh kemahiran kepada membina kerjaya dan perniagaan sendiri.
Sementara itu, Pengarah WOW Smartcut, Fitrina berkata, matlamat program bukan sekadar melahirkan individu yang mahir dalam bidang barbering, tetapi turut membantu peserta berkembang sehingga mampu berdikari dan membina masa depan sendiri.
Menurutnya, sokongan berterusan penting bagi memastikan kemahiran yang diperoleh peserta dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Usaha memperkasa belia menerusi kemahiran seperti itu diharap dapat melahirkan lebih ramai individu yang yakin dengan kebolehan diri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.-EDISI UKAS