Bantuan RM50,000 Bantu 10 Penerima Lawas Tingkat Pendapatan
LAWAS: Seramai 10 penerima di Lawas menerima bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM50,000 menerusi Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan bagi membantu memperkukuh ekonomi keluarga dan meningkatkan pendapatan mereka.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, bantuan seumpama itu memberi peluang kepada penerima mengembangkan perniagaan kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan tambahan keluarga.
Menurutnya, pengukuhan aktiviti ekonomi berskala kecil penting dalam membantu masyarakat menghadapi peningkatan kos sara hidup serta meningkatkan kuasa beli isi rumah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyerahan Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan), ICU JPM Sarawak (Zon Miri) di Dewan IPD Lawas, pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Sarawak, Dato Jasni Jubli berkata, bantuan berkenaan merupakan pendekatan kerajaan untuk membantu golongan memerlukan membina keupayaan ekonomi serta berdikari dalam jangka panjang.
Menurutnya, bantuan peralatan yang disalurkan perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan secara berterusan.
Katanya, usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama kerajaan, agensi pelaksana dan penerima dengan bantuan serta peluang yang disediakan perlu diterjemahkan kepada usaha meningkatkan taraf hidup keluarga.
Bagi memastikan matlamat program tercapai, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Miri) akan memantau perkembangan pendapatan setiap penerima secara bulanan untuk tempoh setahun.
Pemantauan tersebut penting bagi menilai perkembangan penerima selepas menerima bantuan, selain memastikan peralatan yang disalurkan digunakan secara berkesan untuk tujuan peningkatan pendapatan. -EDISI UKAS