Pembinaan Semula Rumah Budin Majang Diberi Perhatian
MUKAH: Pembinaan semula Rumah Budin Majang di Sungai Duan, Balingian yang musnah dalam kebakaran pada 2019 terus diberi perhatian bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan demi kepentingan penduduk terjejas.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, usaha menyelesaikan projek berkenaan memerlukan penyelarasan berterusan dengan agensi berkaitan, khususnya selepas kontrak terdahulu ditamatkan berikutan prestasi pelaksanaan yang tidak memuaskan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pembinaan semula rumah panjang berkenaan, di sini baru-baru ini.
Rumah Budin Majang sebelum ini musnah dalam kebakaran pada 29 September 2019 dan telah melalui beberapa proses permohonan, kelulusan serta tender sebelum kerja pembinaan semula dimulakan.
Bagaimanapun, kontrak yang diberikan pada 2023 kemudiannya ditamatkan berikutan prestasi pelaksanaan yang tidak memuaskan.
Susulan itu, Edwin mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian untuk membolehkan projek diteruskan menerusi pelantikan kontraktor baharu.
Dalam usaha membantu penduduk terjejas, beliau turut menyumbangkan bekalan atap pada 2 April 2026 bagi menyokong kerja-kerja pembinaan semula rumah panjang berkenaan.
Usaha itu diharap membolehkan pembinaan semula Rumah Budin Majang diteruskan sehingga siap, sekali gus memberi semula kediaman yang lebih selesa kepada penduduk yang terjejas akibat kebakaran. –EDISI UKAS