Pesta Asajaya 2026 Buka Tirai Dengan Pengisian Kerohanian
ASAJAYA: Pesta Asajaya 2026 membuka tirai dengan pengisian kerohanian menerusi persembahan qasidah dan ceramah agama yang berjaya menghimpunkan ratusan penduduk dari dalam serta luar Daerah Asajaya.
Acara simbolik perasmian Pesta Asajaya 2026 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Program dimulakan dengan alunan qasidah daripada Gabungan Kumpulan Qasidah Riyadus Solihin dan Kumpulan Qasidah Syabab Al-Maulid, Pusat Pendidikan Muhammad Al-Fateh serta Kumpulan Sirul Intissor.
Acara kemuncak diteruskan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin.
Sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan pengisian berteraskan kerohanian mampu menjadi medium memperkukuh hubungan dan keharmonian komuniti, di samping memberi ruang kepada penduduk mengikuti program yang bermanfaat.
Penganjuran tersebut sekali gus memperkukuh peranan Pesta Asajaya sebagai platform menghimpunkan masyarakat setempat dan luar daerah menerusi pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya merangkap Pengerusi Pengelola Pesta Asajaya 2026, Jerry Zannuddin Bidin, Wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ketua Bahagian Pelancongan Lestari, Yusfida Khalid, Wakil Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Haji Anwar Musadad Mohammad Tajuddin, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Kaunselor Abang Ismawi Abang Ali serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Ayahanda Temenggong Chek Bujang.-EDISI UKAS