Enam Institusi Keagamaan Mambong Terima RM2.08 Juta Peruntukan UNIFOR
KUCHING: Enam institusi keagamaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong menerima peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM2.08 juta bagi melaksanakan projek pembangunan serta penambahbaikan kemudahan untuk kegunaan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan institusi keagamaan pelbagai agama terus mendapat perhatian dan sokongan
“Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap keperluan komuniti melalui pelbagai bentuk bantuan dan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek UNIFOR, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, bantuan tersebut penting bagi memastikan kemudahan di institusi berkenaan berada dalam keadaan lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan masyarakat.
Enam institusi yang menerima peruntukan itu ialah Gereja St Andrew Kampung Sitang, Gereja St Patrick Kampung Masaan, Gereja St Isodore Kampung Bangau, St Patrick’s Chapel Kampung Semadang, BEM Bethel BRS dan St George’s Chapel Kampung Bawang.
Datuk Dr Jerip berkata, sokongan berterusan terhadap institusi keagamaan turut menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak. -EDISI UKAS