KUCHING: Band terkenal Indonesia Peterpan menggegarkan Kuching menerusi persembahan penuh tenaga dalam konsert Rock In The City (RITC) di Waterfront Esplanade, di sini, pada Sabtu.
Peterpan membawa pelbagai lagu kegemaran rakyat Malaysia sekali gus mengubat hati peminat-peminat band tersebut yang berada di Sarawak terutamanya di Kuching.
Para peminat tidak melepaskan peluang untuk turut menyanyi bersama seperti lagu-lagu Diatas Normal, Ada Apa Denganmu, Menunggumu dan sebagainya yang terus memeriahkan konsert di mana membawa konsep berbeza tahun ini dengan band-band ini dibawa ke tengah bandaraya Kuching.
Sebelum ini, band telah dibawa ke 'Hutan' di Bumi Kenyalang di Kampung Budaya Sarawak dengan membawa nama 'Rock in the Jungle (RiTJ)' namun tahun ini membawa kelainan dengan menggegarkan bandaraya.
Penyelaras bagi RITC Nur Linda Bara Abdullah berkata, penampilan Peterpan juga antara penarik kepada konsert kali ini yang membawa peminat berbeza untuk turut memeriahkan konsert yang bersifat rock 'sebenar' ini.
Namun katanya, RITC tidak melupakan akar untuk membawa rock sebenar seperti Barbarik yang dibintangi Mus, Joe Branko, Black dan Rozaimi.
"Genre rock ini dia pelbagai kategori dan membawa pelbagai peminat. Sebagai contohnya, Peterpan bukannya membawa rock genre yang asal namun mereka masih membawa genre alternatif daripada rock, ia sekali gus menarik pelbagai peminat lain untuk datang," katanya ketika ditemui pemberita semasa konsert tersebut.
Menarik sekali, konsert ini merupakan penampilan pertama band Barbarik ke Sarawak yang akan menggegarkan hari kedua RITC pada keesokan hari
Sebelum ini, kumpulan Post Mortem Education dari Sarawak serta Secret Signal dari Brunei telah melakukan persembahan sebelum Peterpan.
Keesokannya, malam kedua bakal menyaksikan persembahan daripada Senseless dan Fearless dari Sarawak serta Indonesia, selain kumpulan Barbarik dari Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai Rock In The Jungle , Nur Linda memberitahu, pihaknya akan cuba untuk menukarkan konsep selang seli setiap tahun di antara RiTC dan RiTJ.
Tambahnya, konsep konsert di 'hutan' tidak dilupakan namun kini hanya mencari konsep yang berlainan tempat bagi memberi alternatif bagi venue yang sesuai. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Naseem Razali