Jerebu Rentas Sempadan Dijangka Berterusan Beberapa Hari Lagi
KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang susulan peningkatan titik panas dan pergerakan asap rentas sempadan dari Kalimantan Barat ke bahagian barat Sarawak.
Menurut kenyataan media Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak pada Ahad, sebanyak 12,888 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia bagi tempoh 1 hingga 29 Ogos 2026, berbanding 185 titik panas di Sarawak dalam tempoh sama.
Berdasarkan pemantauan satelit ‘Asean Specialised Meteorological Centre’ (ASMC), kepulan asap sederhana hingga tebal dari Kalimantan Barat dikesan bergerak ke arah utara memasuki Sarawak.
NREB menerusi kenyataan sama memberitahu, keadaan titik panas dan jerebu dijangka kekal tinggi di kawasan yang mudah terdedah kepada kebakaran, khususnya ketika cuaca kering berpanjangan.
Keadaan tersebut berpotensi meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan yang lebih teruk di Sarawak.
Sementara itu, setakat jam 12 tengah hari hari ini, empat kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori berbahaya, dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 412, diikuti Samarahan (332), Kuching (304) dan Tebedu (302).
Tiga kawasan lagi berada pada kategori sangat tidak sihat, iaitu Sri Aman (228), Lundu (236) dan Lubok Antu (243), manakala 10 kawasan berada pada kategori tidak sihat dan Limbang pada kategori sederhana.
Menurut NREB, keadaan cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN Selatan, manakala fenomena El Niño yang diramalkan semakin menguat dalam beberapa bulan akan datang berpotensi memburukkan keadaan titik panas dan jerebu, termasuk meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan di negara ini.
Sehubungan itu, orang awam disaran mengurangkan aktiviti luar yang lasak, minum air secukupnya serta memakai topeng muka ketika melakukan aktiviti luar, khususnya golongan berisiko tinggi.
NREB turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi pencemaran udara ketika musim panas.
Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang awam juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka kepada Pejabat NREB berdekatan atau Hotline NREB di 082-447488 atau 082-319500.
NREB akan terus memantau keadaan kualiti udara dan menasihatkan orang ramai mendapatkan bacaan IPU rasmi melalui saluran NREB serta Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS). -EDISI UKAS