Warisan Gemilang Juara Pertandingan Nopeng Pesta Asajaya
ASAJAYA: Kumpulan Warisan Gemilang muncul juara Pertandingan Nopeng sempena Pesta Asajaya, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM600.
Kumpulan Khazanah menduduki tempat kedua dengan menerima RM500, selain meraih Anugerah Pakaian Terbaik yang menawarkan hadiah tambahan RM100.
Tempat ketiga pula dimenangi kumpulan Warisan Armada Seni dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM400.
Pertandingan yang mengetengahkan keunikan seni persembahan tradisi masyarakat Melayu Sarawak itu menyaksikan penyertaan lapan kumpulan dari beberapa kawasan, antaranya Samarahan, Saberkas Asajaya, Spaoh, Kampung Sembilang serta gabungan peserta dari Telaga Air dan Gedong.
Penganjuran pertandingan berkenaan menjadi wadah penting dalam memelihara seni tradisi bermukun dan adat berpakaian tradisi agar terus diwarisi generasi akan datang.
Selain memperkenalkan khazanah budaya tempatan kepada generasi muda dan pelancong, acara tersebut turut menjadi antara tarikan utama sepanjang Pesta Asajaya berlangsung.
Penglibatan kumpulan dari pelbagai kawasan turut mencerminkan semangat perpaduan masyarakat serta komitmen berterusan dalam memastikan seni warisan kebudayaan tempatan terus dipelihara di peringkat akar umbi. - EDISI UKAS