Jerebu: IPU Serian Cecah 399, Empat Kawasan Catat Tahap Berbahaya
KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila empat kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya setakat jam 12 tengah hari hari ini, dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 399.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), Samarahan mencatat bacaan 332, diikuti Kuching (304) dan Tebedu (302).
Sementara itu, Lubok Antu mencatat bacaan 243, Lundu (236) dan Sri Aman (228), yang masing-masing berada pada tahap sangat tidak sihat.
Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan tidak sihat, antaranya Sarikei (197), Sibu (190), Bintulu (183), Mukah (176), Samalaju (175), Kapit (161) dan Miri (159), manakala Limbang mencatat bacaan sederhana iaitu 97.
JPBNS memaklumkan pihaknya terus memantau perkembangan keadaan jerebu serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan langkah sewajarnya berdasarkan tahap API semasa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan atau mengelakkan aktiviti luar, senaman berat serta pendedahan berpanjangan kepada jerebu.
Bagi mereka yang perlu berada di luar, penggunaan respirator N95 disarankan, manakala perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah jantung atau paru-paru.
JPBNS turut menasihatkan penganjur supaya mempertimbangkan semula aktiviti fizikal, sukan dan program luar apabila bacaan API melebihi 200, termasuk menangguhkan, memindahkan atau mengubah suai aktiviti mengikut keadaan.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara ketika keadaan kering dan berjerebu.
JPBNS akan terus memantau situasi dan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sarawak terus terpelihara. -EDISI UKAS