Sarawak Pertimbang Pembenihan Awan Awal September Jika Jerebu Berlarutan
KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbangkan pelaksanaan operasi pembenihan awan seawal awal September sekiranya keadaan jerebu terus memburuk dan berlarutan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, perkara tersebut masih dalam pertimbangan berdasarkan perkembangan situasi jerebu serta pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Menurutnya, operasi pembenihan awan bukan sahaja bertujuan membantu mengurangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan keadaan jerebu, malah berpotensi meningkatkan takungan air di empangan.
“Pembenihan awan ini bukan sahaja mengurangkan IPU, mengurangkan jerebu ini, tetapi juga untuk meningkatkan takungan air di empangan dan sebagainya.
“Kalau kita lihat dari segi bekalan air, pada masa ini masih dalam kawalan. Bekalan air untuk rakyat tempatan masih dalam kawalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu majlis perkahwinan, di sini, pada Ahad.
Datuk Len Talif berkata, berdasarkan laporan awal Jabatan Meteorologi, keadaan jerebu berpotensi berlarutan sehingga Disember tahun ini, namun situasi tersebut turut bergantung kepada faktor cuaca termasuk taburan hujan.
Sehubungan itu, beliau berkata Sarawak terus mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal keadaan termasuk mengurangkan aktiviti luar serta mengelakkan pembakaran terbuka.
Katanya, orang ramai turut dinasihatkan menggunakan pelitup muka, khususnya apabila bacaan IPU berada pada tahap 300 hingga 400, terutama golongan berisiko.
Dalam pada itu, mengenai kerjasama dengan Indonesia, Datuk Len Talif berkata penglibatan dan perbincangan sedang dilaksanakan di peringkat Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu menangani keadaan jerebu.
Menurutnya, Sarawak juga terbuka untuk menawarkan bantuan mengikut kapasiti sekiranya diperlukan oleh pihak Indonesia.
“Kita akan menawarkan apa sahaja bantuan mengikut kapasiti kita tetapi itu pun kalau kita dipohonlah bantuan ini.
“Kita tidak boleh begitu sahaja, kita akan menawarkan bantuan kepada Indonesia sekiranya diperlukan. Memang diperlukan, tetapi walau apa pun, kita memohonlah kepada mereka supaya mereka memberikan kerjasama untuk kita menyalurkan bantuan ini kerana kita masih terbuka untuk menawarkan bantuan kepada mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani jerebu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan negara jiran bagi memastikan keadaan dapat dikawal dengan berkesan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Kredit foto: Haziq Anwar (Suara Sarawak)