Masyarakat Digalak Amal Gaya Hidup Sihat, Utamakan Pencegahan
MERADONG: Masyarakat digalakkan menjadikan amalan hidup sihat dan langkah pencegahan sebagai sebahagian daripada rutin harian bagi memastikan tahap kesihatan diri dan keluarga sentiasa terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan perlu dipupuk secara berterusan dan tidak hanya apabila seseorang mengalami masalah kesihatan.
Menurut beliau, penjagaan pemakanan, aktiviti fizikal secara berkala serta pemeriksaan kesihatan merupakan antara langkah mudah yang boleh diamalkan bagi menjaga kesihatan.
“Kita bukan sahaja perlu mendapatkan rawatan apabila jatuh sakit, tetapi lebih penting untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta mengambil langkah pencegahan.
“Amalan mudah seperti menjaga pemakanan, melakukan aktiviti fizikal secara berkala dan membuat pemeriksaan kesihatan perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan seharian kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Kesihatan anjuran Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) sempena Pesta Meradong 2026, di sini pada Sabtu.
Datuk Ding turut menghargai penglibatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menyampaikan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, pendidikan dan kesedaran awal amat penting bagi membantu melindungi golongan muda daripada terjebak dalam penyalahgunaan bahan terlarang. -EDISI UKAS