Kegiatan Budaya & Sosial Perkukuh Keharmonian Masyarakat
MERADONG: Kegiatan kebudayaan dan sosial perlu terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan komuniti yang harmoni dan mempunyai semangat perpaduan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan komuniti perlu dilihat secara menyeluruh dengan turut memberi perhatian kepada aspek kebudayaan dan sosial selain pembangunan fizikal.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan di kawasan Sarikei. Saya percaya masyarakat yang aktif dalam kegiatan kebudayaan dan sosial dapat mewujudkan suasana yang lebih harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Baharu dan Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan Kelab Kebudayaan Dian Lian Meradong, di sini pada Sabtu.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, penglibatan generasi baharu bersama ahli yang berpengalaman dalam kepimpinan kelab merupakan langkah positif bagi memastikan kegiatan kebudayaan dapat diteruskan dan diwarisi pada masa hadapan.
“Majlis seperti ini bukan sahaja untuk meraikan perayaan, tetapi juga memberi peluang untuk mengeratkan hubungan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyumbangkan RM20,000 kepada Kelab Kebudayaan Dian Lian Meradong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan kelab.
Sumbangan tersebut diharap dapat membantu kelab meneruskan pelbagai aktiviti yang memberi ruang kepada masyarakat untuk terlibat dalam kegiatan kebudayaan, di samping memperkukuh hubungan serta interaksi antara komuniti. -EDISI UKAS