Public Bank Sumbang RM3,000 Jayakan Penanaman 1,200 Pokok Di Hutan Simpan Sabal
SIMUNJAN: Sumbangan RM3,000 daripada Public Bank Berhad Cawangan Stutong membantu menjayakan penanaman 1,200 pokok spesies tempatan di Hutan Simpan Sabal di sini sebagai sokongan terhadap usaha restorasi hutan dan penghijauan di Sarawak.
Program penanaman berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) serta melibatkan penyertaan kakitangan Public Bank Berhad dan JHS, pada Sabtu.
Menurut kenyataan media JHS pada Ahad, antara spesies pokok tempatan yang ditanam ialah Engkabang, Luis dan Kapur yang mempunyai nilai ekologi serta berperanan dalam memperkayakan kepelbagaian biologi kawasan hutan.
JHS menerusi kenyataan sama memberitahu, aktiviti penanaman tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkayakan kawasan hutan dengan spesies pokok tempatan bernilai tinggi, di samping meningkatkan kepelbagaian biologi dan nilai ekologi kawasan berkenaan.
Menurutnya, penglibatan sektor korporat dalam program tersebut turut menyokong usaha pemuliharaan dan restorasi hutan melalui kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta.
Program berkenaan turut menyumbang kepada Kempen Penghijauan Malaysia 2.0 (2026–2030), susulan kejayaan Sarawak mencapai sasaran penanaman 35 juta pokok di bawah Kempen Penghijauan Malaysia 2021–2025 pada 8 Jun 2024, iaitu setahun lebih awal daripada sasaran.
Berlandaskan pencapaian tersebut, Sarawak kini meneruskan usaha penghijauan dengan sasaran menanam 50 juta pokok lagi menjelang 2030.
Turut serta dalam program berkenaan ialah Pengurus Wilayah Public Bank Berhad, Chua Ko Onn dan Pegawai Bahagian Restorasi dan Hutan Industri JHS, Rohanie Bohan.
Kerjasama berterusan antara JHS, sektor swasta, komuniti dan pemegang taruh lain terus diperkukuh bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti, restorasi ekosistem hutan serta kelestarian sumber hutan Sarawak untuk generasi akan datang. -EDISI UKAS