Program Hari Wanita Perkasa Peranan Wanita Dalam Ekonomi Komuniti
MERADONG: Program Pembangunan Komuniti-Hari Wanita 2026 menjadi platform memperkasa golongan wanita menerusi peningkatan ilmu, kemahiran dan keyakinan diri untuk menyumbang kepada pembangunan keluarga serta ekonomi komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tema program ‘Kesaksamaan Gender Penggerak Ekonomi’ bertepatan dengan usaha memperkukuh peranan wanita dalam keluarga, masyarakat, pekerjaan, perniagaan dan bidang keusahawanan.
“Program seperti ini memberi peluang kepada wanita untuk mendapatkan ilmu, kemahiran dan keyakinan diri.
“Aktiviti seperti forum, demonstrasi pembuatan sabun dan Pertandingan Iron Lady Chef juga dapat membuka ruang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran baharu serta meneroka potensi diri,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Masyarakat Bintangor, pada Ahad.
Menurut Datuk Ding, program anjuran Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) itu diharap dapat memberi manfaat kepada peserta, selain menjadi platform berterusan dalam usaha memperkasa golongan wanita di kawasan Meradong..-EDISI UKAS