Kejohanan Sukan Akar Umbi Perlu Diperluas, Cungkil Bakat Baharu
LIMBANG: Penganjuran kejohanan sukan terbuka di peringkat akar umbi perlu diperbanyakkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia mencungkil bakat serta mengembangkan potensi dalam bidang sukan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pendekatan itu penting untuk memperluas penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Bagi saya, ini sesuatu yang sangat baik dan kita menggalakkan penglibatan semua dalam bidang sukan ini tanpa mengira umur serta menyokong usaha untuk menaikkan sukan-sukan yang ada untuk diketengahkan di kawasan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Bola Tampar Terbuka 2026, di Stadium Tertutup Limbang, pada Sabtu.
Menurutnya, penganjuran kejohanan secara konsisten bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memberi ruang kepada persatuan sukan tempatan mengenal pasti bakat baharu untuk dibimbing ke peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyeru persatuan sukan tempatan memanfaatkan peruntukan yang disediakan dengan memperbanyakkan penganjuran kejohanan, khususnya di peringkat akar umbi.
Pertandingan Bola Tampar Terbuka 2026 yang julung kali dianjurkan itu menarik penyertaan 13 pasukan dari Brunei Darussalam, Sabah, Sibu, Lawas dan Limbang, sekali gus memperlihatkan potensi Limbang sebagai lokasi penganjuran acara sukan yang mampu menarik penyertaan dari luar.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata kejohanan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 kepada johan, selain menyalurkan peruntukan RM50,000 bagi menyokong penganjuran tersebut.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan pertandingan berkenaan dijadikan acara tahunan dengan jumlah penyertaan dan nilai hadiah dipertingkatkan pada masa hadapan.
Beliau turut menggalakkan peserta dari luar mengambil peluang menikmati pelbagai tarikan di Limbang selain menyertai acara yang dianjurkan sepanjang berada di bahagian berkenaan.
Limbang turut aktif menganjurkan pelbagai kejohanan sukan lain termasuk bola sepak dan badminton yang mendapat sambutan masyarakat setempat.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat, wakil Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Mohd Hafizul Helmi Md Zain, Pengerusi Piala Datuk Dr Abdul Rahman Volleyball Challenge (Men’s Cup) 2026, Abdul Halim Abdul Rahman dan Presiden Northern Rawr Volleyball Club, Arnold Wong Teck Hiap. -EDISI UKAS