LAWAS: Sebanyak 1,098 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara menyertai Program Senam Sihat MADANI Merdeka secara serentak pada Sabtu, dalam usaha mencipta rekod ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) selain menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Pengurus NADI Merapok, Khairunnisa Dorashid berkata, pelaksanaan secara serentak di seluruh negara membuktikan keupayaan NADI sebagai platform komuniti dalam menghimpunkan masyarakat menerusi program yang menggabungkan elemen kesihatan, perpaduan dan patriotisme.
Menurutnya, penglibatan komuniti dalam aktiviti berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, malah menyemarakkan semangat kebersamaan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sambutan Merdeka Bersama NADI sempena Sambutan Ulang Tahun NADI Ke-20 di NADI Merapok, pada Sabtu.
Di NADI Merapok, program berkenaan turut menampilkan Senam Sihat MADANI-Zumba bersama BS Dance Fitness Lawas yang disertai penduduk kampung dan komuniti setempat.
Selain aktiviti kecergasan, sambutan turut dimeriahkan dengan Pertandingan Gubahan Buah-Buahan Tempatan bertemakan Merdeka serta Pertandingan Peragaan Busana Merdeka Kanak-Kanak bagi peserta lelaki dan perempuan berusia bawah 12 tahun.
Khairunnisa berkata, penganjuran aktiviti berasaskan komuniti itu turut memperluas peranan NADI sebagai pusat sehenti masyarakat yang bukan sahaja menyokong akses dan literasi digital, malah memberi perhatian kepada aspek kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan.
Katanya, penglibatan masyarakat dalam program seumpama itu selaras dengan usaha memperkukuh fungsi NADI sebagai platform yang dekat dengan komuniti serta mampu melaksanakan pelbagai aktiviti berimpak kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS