Pembangunan Sarawak Berterusan, Bukan Berasaskan Pilihan Raya
MIRI: Pelaksanaan pembangunan dan penyaluran bantuan kepada masyarakat di Sarawak dilaksanakan secara berterusan berdasarkan keperluan rakyat, bukan semata-mata berlandaskan kepentingan pilihan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang, termasuk dalam aspek kemudahan institusi keagamaan.
“Keutamaan Kerajaan Sarawak adalah memastikan keperluan rakyat diberi perhatian dan pembangunan dilaksanakan secara berterusan, bukan semata-mata berdasarkan kepentingan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan bantuan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM95,000 kepada Borneo Evangelical Mission (BEM) Kasih Karunia, Desa Murni, di sini pada Ahad.
Dato Sri Lee berkata, bantuan tersebut disalurkan bagi tujuan penggantian dan penambahbaikan peralatan institusi berkenaan, selaras dengan pendekatan kerajaan dalam memastikan keperluan institusi keagamaan daripada pelbagai latar belakang terus diberi perhatian.
Menurutnya, penyaluran bantuan dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum.
Beliau berkata, pendekatan inklusif berkenaan penting bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee berkata pembangunan infrastruktur yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan pusat bandar seperti Miri perlu terus diperkukuh bagi memudahkan pergerakan penduduk serta membuka lebih banyak peluang ekonomi.
Menurutnya, jaringan perhubungan yang baik membolehkan hasil pertanian dari kawasan pedalaman dibawa ke Miri untuk dipasarkan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan masyarakat. -EDISI UKAS