Manfaat AI Untuk Produktiviti, Waspada Penipuan Berasaskan Teknologi
MIRI: Masyarakat dan sektor perniagaan digalakkan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti, namun setiap maklumat yang dijana teknologi berkenaan perlu disemak dan disahkan bagi mengelakkan kesilapan serta risiko penipuan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, perkembangan pesat AI menjadikan penguasaan teknologi tersebut semakin penting, khususnya dalam membantu golongan pekerja dan usahawan melaksanakan tugasan dengan lebih cekap.
Menurutnya, AI kini mampu mempercepatkan pelbagai tugasan termasuk penyediaan bahan penulisan, pencarian maklumat dan aktiviti pemasaran, sekali gus berpotensi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna supaya tidak menerima maklumat yang dijana AI secara bulat-bulat kerana teknologi berkenaan turut boleh dimanipulasi bagi tujuan penipuan.
“Pengguna perlu memastikan maklumat yang diperoleh daripada AI disemak dan disahkan terlebih dahulu. Jangan terus mempercayainya tanpa membuat semakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi penutupan program ‘AI at Work – Using AI The Right Way For Better Results’ anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (MCCCI) Miri di Dewan MCCCI, pada Sabtu.
Beliau berkata, perkembangan teknologi AI turut menyebabkan kaedah penipuan menjadi semakin meyakinkan apabila teknologi tersebut boleh digunakan untuk menyamar sebagai ahli keluarga atau individu yang dikenali menerusi panggilan dan mesej.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum mempercayai sebarang maklumat atau menyerahkan wang, khususnya apabila menerima permintaan yang mencurigakan.
Program tersebut menampilkan dua sesi latihan kendalian Winston Chang, Profesional AI Bertauliah Google, yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan AI secara berkesan dalam tugasan pekerjaan dan perniagaan.
Penganjuran program berkenaan turut menekankan kepentingan peningkatan literasi AI dalam kalangan masyarakat dan sektor perniagaan supaya teknologi tersebut dimanfaatkan sebagai alat meningkatkan produktiviti secara bertanggungjawab -EDISI UKAS