Darurat Jerebu Hanya Diisytihar Di Kawasan Tertentu Jika IPU Cecah 500
KUCHING: Pengisytiharan darurat susulan situasi jerebu hanya akan dilaksanakan di kawasan tertentu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500, dan tidak melibatkan seluruh Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara tersebut adalah selaras dengan panduan pengurusan bencana jerebu di Malaysia.
Katanya, perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya berdasarkan Arahan NADMA No. 1.
“Kalau Serian, misalnya, sampai 500, itu bermakna kita akan memaklumkan kepada Kuala Lumpur bahawa darurat perlu dikuatkuasakan di kawasan tersebut sahaja, bukan seluruh Sarawak.
“Apabila darurat dikuatkuasakan, semua pejabat, sektor awam dan swasta ditutup. Sudah tentu kalau ada sekolah, sekolah juga ditutup. Cuma perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media berkaitan situasi jerebu di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Isnin.
Datuk Amar Douglas berkata, JPBNS terus memantau perkembangan bacaan IPU di seluruh Sarawak bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya keadaan semakin meruncing.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengisytiharan darurat berkenaan tidak akan melibatkan sebarang sekatan pergerakan.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery