Jerebu Rentas Sempadan Isu Serantau, Ditangani Menerusi Saluran Diplomatik
KUCHING: Isu jerebu rentas sempadan perlu ditangani melalui saluran kerajaan dan mekanisme serantau serta diplomatik yang telah ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat Sarawak seolah-olah tiada usaha dilakukan untuk menangani isu tersebut bersama pihak di Kalimantan.
Namun, beliau menegaskan bahawa isu tersebut merupakan perkara diplomatik yang perlu ditangani melalui saluran kerajaan dan mekanisme serantau yang sewajarnya.
"Saya mesti menegaskan bahawa isu ini merupakan isu diplomatik kerana di Malaysia, kita mempunyai Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
"Dahulu saya merupakan Menteri Alam Sekitar dan saya adalah sebahagian daripada usaha tersebut maka apabila berlaku musim panas dan kering seperti sekarang dan berlaku jerebu, di situlah ruangnya untuk berbincang mengenai cara mengatasi masalah ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media JPBNS mengenai situasi jerebu di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, perbincangan telah diadakan bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang akan memaklumkan perkara tersebut turut dibawa melalui jawatankuasa berkaitan di peringkat Persekutuan.
Tambah beliau, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga telah berbincang mengenai isu jerebu ini semasa program di Brunei Darussalam baru-baru ini.
"Jadi, jika terdapat kenyataan mengatakan kita akan pergi ke Kalimantan untuk berbincang, saya fikir itu merupakan satu gambaran yang tidak tepat.
"Kita menggunakan saluran diplomatik dan saya yakin kita akan dapat menyelesaikan masalah tersebut," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery