Pembenihan Awan Sarawak Dijangka Dilaksana 3 Hingga 5 September
KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka melaksanakan operasi pembenihan awan pada 3 hingga 5 September ini sekiranya keadaan cuaca memenuhi syarat yang ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi itu bertujuan membantu menangani situasi jerebu selain meningkatkan paras air di empangan.
Bagaimanapun, katanya, operasi berkenaan memerlukan memerlukan persekitaran yang sesuai dan kondusif untuk dilaksanakan.
"Kita juga telah memaklumkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya pembenihan awan diteruskan tetapi saya mahu orang awam memahami bahawa pembenihan awan menggunakan garam.
"Untuk melaksanakannya, kita memerlukan awan sebagai sumber atau kumpulan awan namun kalau tidak ada awan, maknanya keadaan persekitaran tidak sesuai atau tidak kondusif untuk pembenihan awan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media JPBNS mengenai situasi jerebu di Sarawak yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Isnin.
Menurut Datuk Amar Douglas, kerajaan bukan tidak mahu melaksanakan operasi tersebut, sebaliknya ia perlu dijalankan dalam keadaan cuaca yang bersesuaian bagi memastikan keberkesanannya.
Katanya, pelaksanaan pembenihan awan tanpa keadaan yang kondusif bukan sahaja berisiko tidak mencapai hasil yang diharapkan, malah boleh menyebabkan pembaziran kos operasi.
Datuk Amar Douglas memaklumkan, Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia) bakal mengadakan mesyuarat operasi pembenihan awan yang akan dilaksanakan pada keesokan hari. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery