Sambutan Hari Warga Emas Perkukuh Hubungan Antara Generasi
MERADONG: Sambutan Hari Warga Emas anjuran Persatuan Lau Meradong menjadi wadah menghargai jasa dan sumbangan golongan warga emas, di samping memperkukuh hubungan antara generasi dalam masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha menghargai warga emas perlu terus dipupuk sebagai tanda mengenang jasa dan pengorbanan mereka terhadap keluarga, masyarakat serta pembangunan setempat.
Menurutnya, nilai menghormati warga emas perlu diterapkan dalam kalangan generasi muda agar amalan tersebut terus menjadi sebahagian daripada kehidupan bermasyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Jamuan Tengah Hari Perayaan Pesta Pertengahan Musim Luruh 2026 anjuran Persatuan Lau Meradong di Hee Bin Leau Restaurant, pada Ahad.
Beliau turut memuji Persatuan Lau Meradong atas usaha menyatukan ahli serta memelihara warisan budaya dan tradisi masyarakat Cina.
Katanya, peranan persatuan seperti itu penting dalam mengeratkan hubungan sesama anggota, selain memastikan nilai, budaya dan tradisi masyarakat terus diwarisi oleh generasi akan datang.-EDISI UKAS