Kerjasama Erat Kerajaan-Swasta Percepat Pemadaman Kebakaran Di Desa Senadin
MIRI: Kebakaran kawasan belukar dan lalang di Jalan Ilmu, Desa Senadin berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira tiga jam hasil tindakan pantas pelbagai agensi serta kerjasama empat pasukan swasta yang berlaku semalam.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 petang sebelum segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan tindakan lanjut.
“Bomba telah bergerak dengan pantas dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak segera bagi memastikan kebakaran ini tidak merebak,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi kebakaran di Jalan Ilmu, Desa Senadin, pada Isnin.
Menurut Dato Sri Lee, operasi pemadaman menyaksikan kerjasama antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta empat pasukan swasta yang membantu membekalkan sumber air terbuka dari parit berhampiran.
Empat pasukan swasta terbabit ialah Team Naim Cendera, Team Kenyalang Smart City (KSC), Team Shin Yang (BaramVille) dan Team Woodville Development.
Dato Sri Lee merakamkan penghargaan kepada pihak swasta yang tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira kepentingan diri demi memastikan kebakaran dapat dikawal dengan segera.
Katanya, kerjasama erat antara pihak swasta dan kerajaan amat diperlukan khususnya dalam menangani kejadian kecemasan seperti kebakaran bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan lebih pantas dan berkesan.
Beliau berkata, pendekatan tersebut amat baik memandangkan pemilik tanah dan pemaju di kawasan berkenaan mempunyai jentera sendiri yang boleh digunakan untuk membantu operasi pemadaman.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I Amindra Lapiaman dari Balai Bomba dan Penyelamat Lutong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.41 petang sebelum jentera bergerak seminit kemudian dan tiba di lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada kira-kira jam 8.30 malam dengan teknik pemadaman yang digunakan ialah secara defensif dan serangan ofensif, dengan menggunakan satu aliran air sepanjang kira-kira 1,000 kaki. -EDISI UKAS