KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan perlu dijadikan ruang untuk rakyat menghayati makna kecintaan kepada tanah air, menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta mensyukuri nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semangat patriotisme perlu diterjemahkan melalui rasa tanggungjawab, kesetiaan kepada negara dan kesediaan setiap individu memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat.
“Semangat patriotisme tidak seharusnya terbatas kepada sambutan dan simbolik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui rasa tanggungjawab, kesetiaan kepada negara, penghormatan terhadap kepelbagaian serta kesediaan setiap individu untuk memainkan peranan dalam memperkukuh masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2026, di sini, pada Isnin.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya terus mempertahankan keharmonian yang menjadi kekuatan negeri ini dengan menghormati kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar belakang.
Menurutnya, dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, kekuatan hubungan sesama rakyat dan nilai kemasyarakatan perlu diberi perhatian selain pencapaian pembangunan.
“Marilah kita menjadikan Hari Kebangsaan ini sebagai titik untuk memperbaharui tekad, memperkukuh kesatuan hati dan menyemarakkan kembali rasa cinta kepada tanah air.
“Dengan semangat kebersamaan, rasa hormat dan tanggungjawab bersama, kita mampu terus membina Malaysia yang aman, stabil, maju dan sejahtera untuk generasi hari ini serta generasi yang akan datang,” ujarnya.-EDISI UKAS