MySRBN Jalur Lebar Untuk Semua, Bawa Sarawak Ke Persada Digital
Ekonomi digital mula diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 2017 selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 13 Januari 2017. Tujuannya adalah untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi dan melonjakkan Sarawak menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Pada 3 hingga 4 April 2017, Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak. IDECS muncul sebagai pencetus utama dan batu asas kepada transformasi serta pelan digitalsasi menyeluruh wilayah Sarawak.
Di persidangan itu, Kerajaan Sarawak telah mengumumkan Strategi Ekonomi Digital 2018 - 2022 bagi mencapai wilayah maju menjelang tahun 2030. Bermula tahun 2017, ekonomi digital telah diangkat menjadi visi yang akan memacu pertumbuhan sosioekonomi Sarawak dalam semua aspek seperti sumber manusia, bidang pendidikan, pertanian, pengangkutan, perkhidmatan kerajaan dan sebagainya.
Strategi Ekonomi Digital 2018 - 2022 yang merupakan pelan tindakan lima tahun telah dilancarkan Kerajaan Sarawak pada 13 Disember 2017. Ia bertujuan mentransformasikan ekonomi Sarawak daripada bergantung kepada sumber tradisional kepada ekonomi digital moden. Pelan ini mengandungi 47 tindakan strategik yang dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu sektor ekonomi utama dan pemboleh cara.
Menerusi inisiatif ini, menyaksikan penubuhan agensi penting seperti Lembaga Multimedia Sarawak, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak, Sama Jaya Digital Village dan Hab Inovasi Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bagi memacu pelaksanaan transformasi digital ini di seluruh Sarawak. Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan RM1 bilion bagi meningkatkan infrastruktur telekomunikasi bagi memperkasa usahawan digital dan pertumbuhan syarikat pemula, inisiatif bandar pintar di Miri, WiFi percuma dan sebagainya.
Sarawak Digital Economy Corporation (SEDC) telah diperbadankan pada 22 Januari 2018 dan mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Julai 2020. Ia merupakan sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. Misinya ialah mempercepatkan kesejahteraan ekonomi bagi semua lapisan masyarakat melalui pendigitalan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman
Di bawah SDEC, telah diperkenalkan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak atau Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang merupakan rangkaian jalur lebar milik Kerajaan Sarawak yang pertama di Malaysia dengan menyediakan sambungan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Selepas kejayaan Strategi Ekonomi Digital 2018 - 2022, Kerajaan Sarawak meneruskan agenda digital dengan melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2023 juga dikenali sebagai Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 atau SDE 2030 pada 4 Oktober 2023 semasa Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia serta IDECS 2023. Strategi ini merupakan fasa kedua pelan tindakan digital Sarawak yang dirangka untuk memacu transformasi Sarawak daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan alam sekitar menjelang 2030. Pelan ini menjadi pemangkin utama dalam menyokong PCDS 2030.
Memperkenalkan MySRBN
SDEC telah memperkenalkan MySRBN atau Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak. MySRBN ini menggunakan sistem tanpa wayar seperti Fixed Wireless Access (FWA) dan menara telekomunikasi pintar. MySRBN ialah Internet tanpa wayar yang pantas dan mampu mencapai kawasan yang paling sukar diakses dan terpencil di Sarawak. Pelan mingguan MySRBN bermula RM5 dengan menawarkan data sebanyak 200 GB.
Di dalam pelan ini juga ditawarkan MySRBN 1TB secara bulanan sebanyak RM20 yang mempunyai data 1000 GB berkelajuan tinggi, diikuti MySRBN 60 selama 60 hari tanpa had juga berkelajuan tinggi dan MySRBN 110 selama 180 hari tanpa had serta berkelajuan tinggi.
Sementara itu, turut ditawarkan pakej MySRBN XL 7 yang merupakan Internet fiber optik ultra pantas untuk rumah dan perniagaan yang memerlukan jalur lebar tinggi. Pelan ini mengandungi MySRBN XL 7 yang menawarkan 100 MBps bernilai RM25 seminggu dengan data tanpa had, MySRBN XL 30 sebanyak 100 MBps bernilai RM79 sebulan dengan data tanpa had dan MySRBN XL 14 sebanyak 100 MBps bernilai RM45 bagi tempoh 14 hari juga dengan data tanpa had.
Dalam pakej MySRBN XL ini pengguna juga mendapat pemasangan percuma dan penghala WiFi percuma. Perkhidmatan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang digital, di samping melengkapi sambungan yang disediakan oleh pengendali telekomunikasi.
Sejak tahun 2021, pelaksanaan MySRBN telah memberi peluang besar kepada masyarakat luar bandar dalam menikmati Internet berkualiti tinggi. Sementara itu, MySRBN XL pula menandakan evolusi baharu ke arah sambungan lebih pantas dan stabil dengan menggunakan gentian optik. Lebih membanggakan, pengenalan MySRBN XL ini juga merupakan satu lonjakan besar untuk memastikan rakyat luar bandar menikmati Internet berkelajuan tinggi setanding piawaian global.
Matlamat MySRBN ini adalah untuk mengatasi masalah yang berpanjangan iaitu liputan jaringan yang lemah di kawasan pedalaman di Sarawak. Dengan memperluas liputan dan meningkatkan rangkaian jalur lebar, semua sektor di Sarawak akan dapat memanfaatkan faedah penyambungan digital. Kerajaan Sarawak dengan bermatlamatkan membantu rakyat Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman menjanjikan subsidi kepada setiap isi rumah yang menggunakan perkhidmatan MySRBN ini. Pengguna pelan ini hanya perlu membayar harga pakej perkhidmatan mampu milik yang diambil, manakala peranti yang diperlukan akan diberikan secara percuma.
MYSRBN Bawa Suara Sarawak Ke Persada Digital
Cabaran geografi dan kedudukan kawasan luar bandar serta pedalaman di Sarawak bukan alasan untuk menghalang masyarakat menikmati pembangunan digital. Sehingga kini lebih 49,000 premis pelanggan telah disambungkan perkhidmatan MySRBN di seluruh Sarawak. Manakala, sebanyak 118 menara telekomunikasi bagi MySRBN telah siap sepenuhnya, sekali gus memperluaskan capaian internet kepada kira-kira 44,000 buah rumah di seluruh Sarawak. Dalam jangka panjang, SDEC kini sedang meneliti penggunaan gentian optik yang memberi kelajuan lebih pantas berbanding tanpa wayar sehingga kelajuan 300 MBps berdasarkan permintaan semasa.
Dalam merealisasikan impian masyarakat di luar bandar, Kerajaan Sarawak telah membawa kemudahan Internet ke Belaga yang muka buminya berbukit bukau dan mempunyai sungai yang luas. Perjalanan ke Belaga mengambil masa selama tiga jam tidak melemahkan semangat SDEC untuk memastikan masyarakat di sini turut menikmati kemudahan digital seperti masyarakat di bandar. Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman turut merasai erti ekonomi digital.
Inisiatif peluasan rangkaian Internet di luar bandar Sarawak boleh memacu pertumbuhan sektor pelancongan komuniti menerusi jaringan komunikasi, tempahan dalam talian serta mempromosikan destinasi pelancongan. Inisiatif ini juga merupakan salah satu pemacu dalam PCDS 2030 bagi mendigitalkan ekonomi Sarawak. Infrastruktur digital yang semakin berkembang di kawasan luar bandar Sarawak membawa impak yang signifikan terhadap sektor pelancongan setempat.
Dengan adanya Internet, pengusaha pelancongan luar bandar seperti di Bario, Ba’kelalan atau Kapit boleh dipromosikan secara terus menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Thread, YouTube dan TikTok. Di samping itu, pelancong asing mahupun tempatan boleh membuat tempahan bilik atau pakej aktiviti secara dalam talian. Perkhidmatan ini semestinya memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelancong dalam berbelanja semasa melancong di Sarawak.
Di samping itu, kawasan air terjun The Three Sisters yang unik dan semakin popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pengembara merupakan tarikan baru di Ulu Baram. Ini selepas keindahan dan cantiknya kawasan air terjun itu telah tular di media sosial hingga ke luar negara termasuk di dalam World Travel Market London dan ITB Berlin. Disebabkan itu, Kerajaan Sarawak bercadang membangunkan air terjun The Three Sisters itu sebagai tarikan pelancongan dan dijadikan taman negara di Baram. Ini sekali gus melonjakkan lagi sektor pelancongan di Baram.
Kemudahan Internet juga membolehkan pelancong mengakses Internet untuk kekal berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan dengan menggunakan navigasi peta digital dan mengakses maklumat kecemasan atau kesihatan dengan mudah ketika meneroka kawasan alam semula jadi Sarawak. Sebarang kecemasan yang berlaku semasa meneroka boleh dihubungi dengan lebih berkesan.
Perluasan jaringan telekomunikasi Internet juga boleh digunakan bagi menjual produk dan hasil alam semula jadi Sarawak kepada masyarakat luar. Dengan menggunakan platform e-dagang sedia ada, komuniti luar bandar juga boleh memasarkan produk kraf tangan, hasil tani seperti lada Sarawak dan beras Bario, dan makanan tradisi. Malah, pemilik juga boleh mempromosikan inap desa di samping produk pelancongan lain khususnya alam semula jadi yang menjadi tarikan utama kepada pelancong dalam dan luar negara.
Selain keperluan pelancongan dan ekonomi, rangkaian Internet juga turut berfungsi dalam memberikan kemudahan penyaluran bantuan Kerajaan Sarawak seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Senior Citizen Health Benefit (SCHB) dan sebagainya dengan mengakses S Pay Global. Menerusi kemudahan ini, masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak perlu ke bandar untuk mendapatkan barangan keperluan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Internet kini bukan lagi kemewahan, tetapi merupakan keperluan asas kepada rakyat seperti air dan elektrik. Melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Kerajaan Sarawak, SDEC dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan terus memastikan tiada rakyat yang ketinggalan walaupun berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Kerajaan Sarawak juga menggalak dan memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutama sekali di luar bandar melalui inisiatif MySRBN. MySRBN ini dapat membantu komuniti luar bandar untuk meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital, termasuk perniagaan atas talian. Penggunaan kod DuitNow QR dan aplikasi perbankan digital memudahkan transaksi tanpa tunai sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong untuk berbelanja di luar bandar dan pedalaman.
MySRBN kini menggunakan menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) yang dibina SDEC. Kerajaan Sarawak kini merancang menggunakan menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah SKMM di seluruh Sarawak pada masa akan datang. Usaha ini bertujuan memperluas liputan MySRBN ke seluruh Sarawak.
Untuk memastikan perkhidmatan ini berjalan lancar, masyarakat digesa memelihara infrastruktur telekomunikasi dan mengelak dari sebarang bentuk vandalisme. Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan Kerajaan Sarawak ini sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat setempat.