Sesi Taklimat KMKK Bukit Semuja Ruang Kemuka Status Pembangunan Terkini
SERIAN: Sesi Taklimat Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan DUN N.23 Bukit Semuja menjadi ruang penting untuk mendapatkan serta menyelaras status terkini projek pembangunan yang telah diluluskan di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, sesi berkenaan turut membolehkan isu berkaitan kelewatan pelaksanaan projek dikenal pasti bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih pantas.
Menurutnya, pemimpin akar umbi perlu memainkan peranan proaktif dalam memastikan perkembangan projek berkenaan dapat dipantau memandangkan terdapat beberapa projek yang telah diluluskan namun masih belum dilaksanakan.
"Antara tujuan kita adalah berkenaan dengan projek-projek pembangunan yang ada, projek yang belum berjalan walaupun sudah dilulus," katanya ketika berucap pada Sesi Taklimat Bersama KMKK Kawasan Bukit Semuja pada Rabu.
Sehubungan itu, John menggesa para pemimpin akar umbi untuk memainkan peranan lebih proaktif dengan bertindak sebagai penghubung terus antara rakyat dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
Beliau berharap KMKK terus berhubung dengan agensi pelaksana sejurus sahaja dimaklumkan projek-projek tersebut lulus.
Dalam majlis yang sama, John turut menyempurnakan penyampaian sijil pelanjutan perkhidmatan kepada Pemanca, Kapitan, Ketua Kaum, dan Tuai Rumah sebagai penanda aras penghargaan atas jasa serta khidmat bakti mereka kepada komuniti. -EDISI UKAS