Infrastruktur Terjejas Banjir Di Krusen Kranji Dibaik Pulih
TEBEDU: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir besar awal Januari lalu menerusi pelaksanaan Projek Pembinaan Tebingan Sungai Kayan di Kampung Krusen Kranji.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata, projek berkenaan merupakan antara langkah segera Kerajaan Sarawak bagi menangani kesan banjir yang menyebabkan jalan utama serta laluan penduduk kampung terputus hubungan.
“Projek pembinaan benteng atau tebingan Sungai Kayan di Kampung Krusen Kranji itu melibatkan kos sebanyak RM2.1 juta, manakala sebanyak RM900,000 diperuntukkan bagi projek Bina semula Jambatan Gantung di Kampung Krusen Siu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Projek di Kampung Krusen Kranji pada Rabu.
Kesemua peruntukan projek berkenaan disalurkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Serian bertindak sebagai agensi pelaksana dan pemantau.
Projek Pembinaan Tebingan Sungai Kayan itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 12 bulan, bermula 2 September 2026 hingga 1 September 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Simon memaklumkan cadangan pembinaan semula Jambatan Gantung Kampung Krusen Siu kini masih dalam proses penilaian akhir dari segi dokumentasi.
Tambahnya, selain projek pemulihan bencana, beberapa peruntukan tambahan turut diluluskan bagi meningkatkan kemudahan asas penduduk di kawasan berkenaan.
“Antaranya termasuk RM150,000 bagi projek solar yang melibatkan Kampung Krusen Kranji, Kampung Krusen Siu dan Kampung Krusen Mawang, RM100,000 bagi menaik taraf Balai Raya Kampung Krusen Mawang, RM100,000 bagi menaik taraf jalan kampung di Krusen Mawang serta RM280,000 bagi menaik taraf Awah Gawai Krusen Siu,” ujarnya. -EDISI UKAS