Para Powerlifting Sarawak Sasar Empat Emas, Format Baharu Uji Strategi Atlet
KUALA LUMPUR: Skuad para powerlifting Sarawak menyasarkan empat pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada Para SUKMA Selangor 2026, dengan format pertandingan baharu yang hanya mengambil kira satu angkatan terbaik bakal menguji strategi setiap atlet.
Pengurus pasukan, Rusmalina Mat Darus berkata, sasaran berkenaan ditetapkan berdasarkan kekuatan dan prestasi semasa atlet, selain mengambil kira perubahan format pertandingan berbanding Para SUKMA Sarawak 2024 yang turut mengira jumlah keseluruhan angkatan.
“Untuk Para SUKMA kali ini, hanya acara angkatan terbaik dipertandingkan dan bukan total lift. Jadi, kita menetapkan sasaran empat emas, tiga perak dan tiga gangsa,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan skuad para powerlifting Sarawak di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan, di sini pada Rabu.
Empat pingat emas disandarkan kepada Bryan Junency John dalam kategori lelaki 88 kilogram (kg), Johannes Gabriel Chiew bagi kategori lelaki 65kg, Bibiana Ahmad dalam kategori lightweight wanita serta Sona Agon bagi kategori heavyweight wanita.
Menurut Rusmalina, skuad para powerlifting Sarawak kali ini dibarisi 13 atlet terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita, termasuk beberapa muka baharu yang berpotensi mencetuskan kejutan dalam saingan.
Antara atlet baharu yang mencuri perhatian ialah Anson Tiong Cheong Huat yang pada awalnya disasarkan meraih pingat perak, namun perkembangan prestasi semasanya membuka peluang untuk mencabar pingat emas.
“Anson kita sasarkan perak, tetapi kemungkinan dia boleh dapat emas. Kita sudah lihat perkembangan dia semasa circuit kebangsaan baru-baru ini,” katanya.
Rusmalina berkata, pengalaman atlet sedia ada serta prestasi semasa barisan pelapis akan menjadi antara faktor penting dalam usaha Sarawak merealisasikan sasaran pingat yang ditetapkan.
Dengan hanya satu angkatan terbaik menjadi penentu, setiap percubaan bakal membawa nilai besar dalam perebutan podium, sekali gus menjadikan ketepatan strategi, pemilihan beban dan keupayaan atlet mengurus tekanan antara aspek penting sepanjang pertandingan.
Skuad para powerlifting Sarawak kini meneruskan persiapan akhir bagi memastikan setiap atlet berada pada tahap terbaik dalam usaha merealisasikan sasaran empat pingat emas pada temasya kali ini.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi