Penduduk Terjejas Kemarau Diminta Segera Laporkan Masalah Bekalan Air
KOTA SAMARAHAN: Penduduk yang mengalami gangguan bekalan air susulan keadaan kemarau di Sarawak diminta segera melaporkan situasi tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat bahagian atau daerah bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat dan tepat.
Penyelarasan antara agensi berkaitan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan air mencukupi dapat disediakan kepada penduduk yang terjejas, termasuk melalui penghantaran air menggunakan tangki serta agihan air minuman botol oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata keutamaan diberikan kepada kawasan yang tidak mempunyai bekalan air paip dan bergantung kepada sumber alternatif seperti tadahan air hujan, sistem graviti serta Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
“Bagi kawasan yang tidak mempunyai bekalan air paip dan bergantung kepada air tadahan hujan atau sistem alternatif, mereka memang terjejas apabila musim kemarau berpanjangan.
“Malah, terdapat kawasan yang sumber air sungainya juga semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Women@Work Bahagian Samarahan di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini, pada Rabu.
Beliau turut menjelaskan bahawa paras air sungai yang semakin menurun boleh menjejaskan operasi pengambilan air, sekali gus mengurangkan kapasiti rawatan dan bekalan air kepada pengguna.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk agar segera membuat laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat bahagian atau daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Tambah beliau, pengagihan bekalan air akan dilaksanakan secara tersusun dengan mengambil kira bilangan isi rumah dan keperluan semasa bagi memastikan bantuan yang disalurkan mencukupi.
Dalam pada itu, beberapa kawasan di Bahagian Sri Aman dan Betong dikenal pasti antara lokasi yang terjejas akibat kemarau, khususnya kawasan yang bergantung kepada sistem bekalan air graviti.
Beliau turut berharap pelaksanaan pembenihan awan dapat membantu meningkatkan sumber air, terutama di kawasan tadahan yang menjadi sumber utama bekalan air kepada penduduk.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi, Wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Nur Natalia Cecelia Jetan serta Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan, Seli Hassan.-EDISI UKAS