‘Sarawak Women At Work’ Pacu Penyertaan Wanita Dalam Tenaga Kerja
KOTA SAMARAHAN: Usaha memperkasakan wanita melalui sektor pekerjaan formal dan tidak formal terus dipergiat menerusi inisiatif 'Sarawak Women at Work'.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha ini bagi memastikan golongan wanita mempunyai akses, peluang, sokongan dan ruang untuk terus terlibat dalam pekerjaan sama ada formal atau tidak formal sekaligus menyumbang kepada ekonomi rumah tangga, meningkatkan pendapatan isi rumah dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Menurut beliau, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Sarawak pada tahun 2024 mencatatkan 52.7 peratus berbanding 85.4 peratus bagi lelaki, meskipun 50 hingga 60 peratus pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terdiri daripada wanita.
“Objektif utama Sarawak Women at Work adalah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, memperluaskan akses kepada peluang ekonomi inklusif, menyediakan laluan kembali bekerja, serta meningkatkan kemahiran golongan ini.
“Pendidikan merupakan asas kepada mobiliti sosial dan pembinaan masa depan. Kesejahteraan keluarga dan masyarakat turut dapat dikukuhkan sekiranya seseorang wanita itu berpelajaran,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Sarawak Women@Work Bahagian Samarahan di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dato Sri Fatimah menekankan bahawa setiap anak di Sarawak perlu mendapat pendidikan asas sekurang-kurangnya dari peringkat prasekolah hingga Tingkatan 5.
Jelasnya, inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma oleh Kerajaan Sarawak membuka peluang besar untuk membina masa depan yang lebih baik serta membolehkan wanita meraih pendapatan tinggi menerusi peluang pekerjaan yang adil.
“Wanita mesti dinilai berdasarkan kelayakan, kompetensi, kemahiran, pengalaman dan prestasi, bukannya faktor jantina,” tegas beliau.
Dalam pada itu, program tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti dan kemahiran digital menerusi kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi membolehkan wanita menguasai penggunaan aplikasi serta teknologi terkini.
Di samping itu, Jabatan Wanita menyediakan Pusat Latihan Kemahiran untuk melatih peserta mengikut keperluan pasaran, selain menawarkan Geran Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak sebagai modal permulaan perniagaan, termasuk dalam bidang permintaan tinggi seperti spa dan urutan.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah menambah, penyertaan wanita dalam tenaga kerja di Sarawak sebenarnya lebih tinggi daripada yang direkodkan secara rasmi, namun masih belum mencerminkan keadaan sebenar kerana ramai terlibat dalam sektor tidak formal.
Jelas beliau, golongan wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, kerja penjagaan atau perkhidmatan tidak formal sering tidak didaftarkan dalam statistik tenaga kerja.
Menurut beliau, keadaan ini menyebabkan jurang penyertaan antara lelaki dan wanita dilihat ketara, sedangkan hakikatnya sumbangan wanita kepada ekonomi adalah signifikan.
“Ramai wanita bekerja dalam sektor tidak formal termasuk penjagaan kanak-kanak, perniagaan kecil-kecilan dan kerja tidak berbayar, tetapi ia tidak direkodkan sebagai tenaga kerja rasmi,” jelasnya.
Bagi mendepani cabaran cuaca semasa katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) khas di TASKA dan TADIKA turut disediakan sepanjang musim jerebu, termasuk pemantauan tahap hidrasi kanak-kanak secara berkala.
Beliau turut mengingatkan para wanita agar memantapkan pengurusan kewangan diri sebagai sebahagian daripada proses pemerkasaan kendiri yang berterusan.
Hadir sama, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Sharifah Zakiah Tuanku Haji Pauzi, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Nur Natalia Cecilia Jetan dan Pemanca Haji Seli Hassan.-EDISI UKAS