Kelestarian Jadi Keutamaan Sarawak Anjur 18 Acara Sukan SEA 2027
KUCHING: Penganjuran 18 acara Sukan SEA 2027 di Sarawak membawa tanggungjawab besar dalam memastikan bukan sahaja kelancaran pertandingan, malah standard kebersihan, kelestarian dan imej negeri berada pada tahap terbaik sepanjang temasya berlangsung.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penganjuran Sukan SEA 2027, Datu Hii Chang Kee berkata, skala penganjuran berkenaan memerlukan persediaan menyeluruh dengan aspek kelestarian diberi perhatian serius sebagai sebahagian daripada kesiapsiagaan Sarawak selaku tuan rumah bersama.
Menurutnya, Jawatankuasa Kelestarian Sukan memainkan peranan penting dalam menjaga imej Sarawak menerusi penyelarasan dan pemantauan aspek kebersihan, sanitasi, pengurusan sisa, landskap, pencahayaan serta usaha mencantikkan venue pertandingan.
“Sarawak, ada 18 acara. Jadi, saya melihat Jawatankuasa Kelestarian sebagai penjaga yang sangat penting kepada imej Sarawak sepanjang Sukan SEA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Bengkel SEA Games Jawatankuasa Kelestarian Sukan, di Bangunan Baitulmakmur 2, pada Khamis.
Datu Hii berkata, tanggungjawab berkenaan bukan sekadar memastikan kelancaran pertandingan, sebaliknya turut merangkumi keadaan persekitaran dan kemudahan yang menjadi sebahagian daripada pengalaman atlet, pegawai serta pengunjung sepanjang temasya.
Justeru katanya, kebersihan, sanitasi, pengurusan sisa, landskap, pencahayaan jalan serta kerja-kerja mencantikkan venue perlu diselaras dan dipantau secara menyeluruh.
Beliau turut menekankan supaya perhatian khusus diberikan kepada tandas dan kemudahan awam memandangkan aspek berkenaan antara perkara yang mudah menjadi perhatian pengunjung.
Menurutnya, standard kebersihan dan pengurusan persekitaran perlu dilihat sebagai sebahagian daripada imej Sarawak selaku tuan rumah bersama dan bukan sekadar urusan operasi harian.
Sehubungan itu, beliau menggesa penglibatan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dalam persiapan kelestarian, khususnya bagi memantau aspek alam sekitar termasuk aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh penganjuran.
Datu Hii menambah, persiapan juga perlu merangkumi kawasan di luar venue pertandingan memandangkan kehadiran atlet, pegawai dan pengunjung dijangka turut melibatkan lokasi awam serta tarikan di sekitar Kuching.
Ujarnya, perkara yang kelihatan kecil seperti tahap kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam secara keseluruhannya mampu mencerminkan standard penganjuran, kecekapan organisasi serta kebanggaan Sarawak sebagai tuan rumah bersama.
Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan Sarawak bakal menganjurkan 18 acara sukan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Desmond Douglas Jerukan.-EDISI UKAS