KUCHING: Peranan jurutera kekal menjadi nadi penggerak utama kepada fasa pembangunan baharu Sarawak yang kini menumpukan kepada transformasi ekonomi yang menggabungkan aspek infrastruktur, tenaga, teknologi, kelestarian alam sekitar, dan pembangunan bakat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak kini tidak lagi hanya menumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, sebaliknya beralih kepada strategi yang lebih menyeluruh di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurut beliau, matlamat utama PCDS 2030 adalah untuk mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar secara serentak.
“Bagi Sarawak, pembangunan mampan tidak boleh dirancang secara berasingan. Tenaga mesti menyokong industri. Pengangkutan mesti dirancang bersama-sama dengan penggunaan tanah dan ketersambungan digital.
“Tindakan iklim mesti disokong oleh data yang boleh dipercayai, piawaian yang jelas dan pembiayaan yang betul dan kita mesti mempersiapkan rakyat untuk ekonomi yang ingin kita bina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis perasmian Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi yang dijana mesti mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat serta memastikan pembangunan merentasi kawasan bandar dan luar bandar dilaksanakan secara inklusif.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan kepentingan menguruskan sumber dengan penuh tanggungjawab serta melindungi alam sekitar yang telah lama menyara kehidupan generasi demi generasi.
Premier Sarawak turut menambah bahawa pemilikan sumber asli semata-mata tidak menjamin kejayaan, sebaliknya cara sumber tersebut diuruskan, nilai tambah yang dicipta, serta kesediaan rakyat menerusi ilmu pengetahuan dan keyakinan diri menjadi penentu kejayaan masa depan wilayah ini.
Menurutnya, kejuruteraan turut memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem tenaga yang lebih bersih dan berdaya tahan, selain menyokong penerokaan tenaga solar, bioenergi, hidrogen, teknologi penyimpanan serta penyelesaian rendah karbon.
Beliau berkata, perkembangan bidang baharu seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pembuatan termaju dan aeroangkasa juga memerlukan keupayaan kejuruteraan yang kukuh.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, Ketua- Ketua Jabatan dan dif jemputan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang