Operasi Pembenihan Awan Fokus Tingkat Simpanan Air Tiga Empangan, 13 Kawasan Tadahan
KUCHING: Tiga empangan hidroelektrik utama dan 13 kawasan tadahan air strategik menjadi tumpuan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 3/2026 yang dilaksanakan bermula Khamis hingga 5 September ini susulan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan di Sarawak.
Operasi bersepadu itu meliputi kawasan di lima bahagian iaitu Samarahan, Sri Aman, Betong, Kapit dan Limbang dalam usaha meningkatkan paras simpanan air bagi memperkukuh jaminan bekalan untuk keperluan domestik serta sektor industri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memaksimumkan paras simpanan air mentah sementara keadaan atmosfera semasa masih sesuai untuk pelaksanaan pembenihan awan.
“Sasaran awal operasi hari ini tertumpu di kawasan Batang Ai sebelum diperluaskan ke kawasan Murum dan Bakun, tertakluk kepada kesesuaian formasi awan serta kondisi cuaca setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau pelaksanaan OPA Siri 3/2026 di sini pada Khamis.
Datuk Amar Douglas menambah, analisis terhadap pelaksanaan OPA terdahulu pada Mei dan Jun lalu menunjukkan peningkatan positif paras air di Empangan Murum dan Bakun, manakala impaknya di Empangan Batang Ai berada pada kadar sederhana.
Selain meningkatkan simpanan air, kerpasan hujan yang terhasil daripada operasi berkenaan turut dijangka membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar udara, sekali gus membantu menangani risiko jerebu rentas sempadan.
Pelaksanaan OPA Siri 3/2026 diterajui oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi pemantauan dan analisis radar cuaca, imejan satelit serta model ramalan terperinci sebelum penerbangan operasi dilaksanakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Operasi berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi Persekutuan dan negeri termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah UKPS merangkap Setiausaha JPBNS, Abdul Wahab Rahim dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA, Arjunaidi Ismail. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie