Sarawak Sedia Jadi Rakan Strategik FEIAP Dalam Penyelesaian Kejuruteraan Mampan
KUCHING: Sarawak bersedia menjadi rakan strategik kepada institusi kejuruteraan di bawah Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) dalam membangunkan penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran pembangunan sebenar serta memberi manfaat kepada rakyat dan rantau Asia Pasifik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak terbuka untuk bekerjasama dengan institusi, universiti dan industri daripada rangkaian FEIAP dalam membangunkan projek rintis yang boleh diuji, diukur, ditambah baik dan diperluaskan.
“Mari kita mulakan dengan sesuatu yang praktikal: satu cabaran, satu perkongsian dan satu percubaan. Mari kita kenal pasti cabaran kejuruteraan sebenar, menyatukan institusi, universiti dan industri dari seluruh FEIAP, dan menguji penyelesaian yang boleh diukur, diperbaiki dan direplikasi. Sarawak bersedia untuk meneroka perkongsian sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis perasmian Perhimpunan Agung dan Konvensyen FEIAP)m di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Premier Sarawak berkata, kerjasama berkenaan penting dalam memastikan kepakaran kejuruteraan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan masyarakat dan boleh disesuaikan di tempat lain.
Menurutnya, kedudukan Sarawak di Borneo turut memberi peluang kepada negeri itu untuk membantu menghubungkan pengetahuan dan kepakaran ke seluruh ASEAN serta rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata jaringan FEIAP juga dapat memberi pendedahan lebih luas kepada jurutera muda Sarawak melalui hubungan dengan institusi profesional, industri dan rakan sejawat dari seluruh rantau berkenaan.
Katanya, peluang tersebut dapat membantu mereka memperoleh pengalaman, membina keyakinan serta mengembangkan perspektif antarabangsa yang diperlukan untuk menghadapi keperluan ekonomi masa depan.
Perhimpunan Agung dan Konvensyen FEIAP itu menghimpunkan wakil daripada 25 ekonomi anggota dan menjadi platform pertukaran idea, pembinaan jaringan serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang kejuruteraan.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, Ketua- Ketua Jabatan dan dif jemputan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang