Sembilan Rumah Panjang Di Pantu Terima 1,006 Kotak Air Minuman
PANTU: Sebanyak 1,006 kotak air minuman diagihkan kepada sembilan rumah panjang di Daerah Pantu yang terjejas akibat kemarau bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terpelihara.
Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman itu diagihkan Pejabat Daerah Pantu dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman menerusi operasi khas pada Rabu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan (PA) Kamal Bujang berkata, penerima bantuan berkenaan melibatkan Rumah Jinggan, Menangkin Ili sebanyak 86 kotak, Rumah Sadiah, Ragai Baru Tuba (118), Rumah Chendan, Mentu Tengah (108) dan Rumah Zamry, Ipoh Muding (72).
Menurutnya, bantuan turut diagihkan kepada Rumah Sadut, Sapak Rembai sebanyak 172 kotak, Rumah Udin, Sapak Tengah (90), Rumah Busang, Ibol Muding (146), Rumah Chaling, Ibol Tengah (44) serta Rumah Lansam, Kandis Asal (170).
“Sebelum bermulanya operasi khas terbabit, lima anggota APM Sri Aman yang diketuai oleh Koperal (PA) Muhammad Zulkarnie Dawi telah pun menghadiri taklimat yang disampaikan oleh SAO Patat Governor di Pejabat Daerah Pantu mengenai pelaksanaan serta penyelarasan agihan bantuan kepada penduduk yang terjejas.
“Operasi pengagihan bantuan air minuman kepada sembilan rumah panjang berkenaan kemudiannya bermula sebaik sahaja taklimat berakhir dan penugasan selesai pada jam 3.55 petang,” katanya.
Kamal menambah, pengagihan bantuan berkenaan merupakan antara usaha berterusan bagi memastikan keperluan asas penduduk yang terjejas akibat kemarau dapat disalurkan secara teratur, menyeluruh dan berkesan.
“Justeru, diharap agar bantuan terbabit dapat meringankan beban penduduk di Daerah Pantu yang terjejas akibat kemarau di samping memastikan kebajikan serta keperluan asas mereka diberi perhatian dari semasa ke semasa,” katanya. -EDISI UKAS