Ruai Komuniti Uma Kayan, Long Amo Jadi Wadah Perkukuh Perpaduan Masyarakat
BELAGA: Ruai Komuniti Uma Kayan, Long Amo yang dibangunkan menerusi projek Rural Transformation Project (RTP) Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang kini menjadi ruang lebih selesa untuk masyarakat berkumpul, bermesyuarat dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga itu berkata ruai atau ‘Awa Ayak’ bukan sekadar ruang fizikal, sebaliknya mempunyai peranan penting dalam budaya masyarakat Kayan sebagai tempat berkumpul, berbincang, berunding serta merancang pelbagai perkara demi kebaikan dan kemajuan komuniti.
Menurutnya, kemudahan yang direalisasikan menerusi peruntukan RTP tersebut perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai simbol kekuatan, perpaduan, kebersamaan serta kesatuan masyarakat dalam menentukan hala tuju pembangunan dan kesejahteraan komuniti.
“Di ruai inilah pelbagai aktiviti kemasyarakatan, program rasmi mahupun tidak rasmi serta majlis keramaian dapat dilaksanakan.
“Justeru, Awa Ayak menjadi tempat untuk kita menyatukan fikiran, mengukuhkan perpaduan dan menentukan hala tuju kemajuan serta kesejahteraan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ruai Komuniti Uma Kayan, Long Amo, di sini, hari ini.
Beliau turut memuji semangat kerjasama masyarakat Uma Kayan, Long Amo yang disifatkan sentiasa mengutamakan perpaduan, saling membantu serta menghormati kepimpinan di peringkat rumah panjang.
Dalam pada itu, Datuk Liwan menjelaskan pelaksanaan projek di bawah RTP melalui proses mesyuarat, perbincangan, penilaian, analisis dan penetapan keutamaan oleh jawatankuasa di peringkat bahagian sebelum dilaksanakan oleh agensi berkaitan.
Katanya, penjelasan tersebut penting bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai pengurusan peruntukan RTP serta menjawab sebarang spekulasi berkaitan pelaksanaan projek.
Menyentuh aspek pendidikan, beliau berkata Jawatankuasa Pendidikan Belaga telah diwujudkan bagi membantu anak-anak kawasan tersebut yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk menyediakan bantuan one-off kepada pelajar baharu.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa memanfaatkan inisiatif Sarawak Free Tertiary Education Scheme (FTES) yang menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar Sarawak yang memenuhi syarat di institusi terpilih.
Selain itu, Datuk Liwan menasihatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati dalam menilai tawaran pendidikan selepas keputusan SPM diumumkan dengan mendapatkan pandangan guru, kaunselor pendidikan atau pegawai Pejabat Pendidikan Daerah sebelum membuat keputusan.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Pejabat Residen Bahagian Kapit, Pejabat Daerah Belaga, agensi pelaksana serta pihak kontraktor atas kerjasama dalam memastikan projek Ruai Komuniti Uma Kayan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Majlis turut dihadiri Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Jimbai Bala, Temenggong Ajang Sirek, Pemanca Unak Akah, Ketua Kaum Uma Kayan, Long Amo, MU Delly Gun Sengem serta ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan para kaunselor.
Majlis yang dihadiri kira-kira 100 orang itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan penduduk setempat, sekali gus menyerlahkan keunikan budaya masyarakat Kayan serta semangat kekitaan komuniti Uma Kayan, Long Amo.-EDISI UKAS