Curtin Malaysia, DriverAI Teroka Kerjasama Strategik AI
MIRI: Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) dan syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat, DriverAI meneroka kerjasama strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berkelajuan tinggi dan pembangunan bakat teknologi.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Curtin Malaysia, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerjasama antara syarikat teknologi global dengan institusi pengajian tinggi tempatan penting bagi mempercepat pembangunan teknologi serta memperkukuh bakat digital di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi DriverAI yang diketuai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cary Tantlinger di Miri, pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan potensi penyelidikan bersama dalam AI dan pengkomputeran berkelajuan tinggi, pembangunan infrastruktur pintar serta peluang biasiswa kepada pelajar dalam bidang AI, teknologi dan reka bentuk.
Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng Chen berkata, kerjasama berkenaan dapat menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri, selain membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik memperoleh pendedahan kepada teknologi baharu.
Sementara itu, Tantlinger berkata, DriverAI berminat meneroka kerjasama dengan Curtin Malaysia khususnya dalam bidang Quantum dan AI Centre of Excellence bagi menyokong pembangunan tenaga kerja masa depan di Sarawak.
Kerjasama itu selari dengan aspirasi Sarawak memperkukuh keupayaan dalam AI, teknologi digital dan industri bernilai tinggi menerusi hubungan strategik antara institusi akademik dan industri.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi DriverAI, Aidan Mulligan, Presiden Asia Pasifik DriverAI, Danny Chang serta wakil Biz Connects termasuk Konsul Kehormat Malaysia di Arizona, Amerika Syarikat, Winnie Kho Kaplan.- EDISI UKAS