Bengkel Topi Wanita Kenyah Buka Peluang Jana Pendapatan
MIRI: Bengkel pembuatan topi wanita Kenyah membuka peluang kepada lebih 50 wanita untuk menjana pendapatan menerusi penghasilan aksesori kepala tradisional yang boleh dijual sehingga RM100 seunit.
Jurucakap bengkel, Margaret Nawan berkata, peserta didedahkan kepada teknik asas menghasilkan dan menganyam corak topi supaya mereka mampu menghasilkan rekaan sendiri serta menjadikannya sebagai sumber pendapatan.
“Apabila mereka sudah mempelajari kemahiran asas ini, mereka boleh pulang dan mencipta rekaan sendiri, malah boleh menghasilkan dan menjualnya,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Pembuatan Topi Wanita di Pusat Kebudayaan Forum di Miri, pada Jumaat.
Menurutnya, topi berkenaan boleh dijual sekitar RM50 bagi rekaan ringkas, manakala rekaan yang lebih rumit mampu mencecah antara RM80 hingga RM100.
Katanya, bagi peserta yang sudah mahir, sesebuah topi boleh disiapkan dalam tempoh satu hingga dua hari bergantung kepada kerumitan corak dan masa yang diperuntukkan.
Margaret berkata, penggunaan bahan murah dan mudah diperoleh termasuk tali pembungkus terpakai serta plastik daripada bekas pembungkusan kek sebagai struktur asas turut membantu mengurangkan kos penghasilan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memanfaatkan bahan kitar semula, malah dapat mengurangkan kos penghasilan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai wanita mempelajari kemahiran berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, penghasilan topi berkenaan juga penting dalam memastikan kemahiran tradisional masyarakat Kenyah terus diperturunkan kepada generasi muda.
Menurutnya, topi tersebut bukan sekadar aksesori tradisional, sebaliknya turut menjadi antara simbol identiti masyarakat Kenyah yang perlu terus dipelihara.
“Kita mahu ilmu ini diperturunkan kepada generasi muda. Apabila mereka mempelajarinya, mereka boleh menghasilkan sendiri dan berbangga memakai hasil kerja tangan yang diwarisi daripada generasi terdahulu,” katanya.
Bengkel berkenaan dianjurkan Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) sempena Sarawak Kenyah Cultural Festival yang berlangsung dari 1 hingga 4 September.- EDISI UKAS