Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026 Perkasa Bakat, Angkat Identiti Sarawak
KUCHING: Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026 yang bakal berlangsung selama tujuh hari dari 28 September hingga 4 Oktober depan di Pustaka Negeri Sarawak menjadi platform penting dalam memperkasa bakat penggiat teater tempatan selain mengembangkan ekosistem seni persembahan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, penyertaan tujuh kumpulan teater dalam festival berkenaan merupakan perkembangan positif yang membuktikan ekosistem teater di Sarawak terus berkembang dan mendapat sambutan daripada penggiat seni tempatan.
“Saya melihat penyertaan tujuh kumpulan ini sebagai satu perkembangan yang amat positif kerana ia melihat bahawa ekosistem teater di Sarawak terus bergerak maju dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026 di ibu pejabat Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini, pada Khamis.
Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026 bertemakan ‘Naratif Sungai, Hutan dan Manusia’, yang mengetengahkan hubungan antara manusia dan alam menerusi pementasan teater.
Tujuh karya yang terpilih sepanjang proses penyertaan dibuka dari 1 hingga 31 Mei lalu itu bakal dipentaskan sepanjang festival berkenaan iaitu Gema Rajang, Sungai Mengalir Lesu, Derau, Sumpah Darah Menanti, Aruna, Suara Rimba dan Saksi Bisu, yang masing-masing mengetengahkan naratif serta kreativiti penggiat teater tempatan.
Bagi edisi tahun ini, johan bakal menerima RM10,000, naib johan RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000, masing-masing berserta piala dan sijil, manakala festival itu turut menyediakan sembilan anugerah khas yang setiap satunya disertakan sijil dan piala.
Datuk Snowdan turut berharap kumpulan yang mengambil bahagian dapat menggunakan peluang tersebut untuk menampilkan karya terbaik, mengetengahkan keunikan identiti Sarawak serta membuktikan penggiat teater tempatan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi termasuk di peringkat antarabangsa.
Festival tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, sebagai usaha memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bidang seni dan budaya.
Turut hadir, Pengarah JKKN Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman, Pengarah DBP Sarawak, Dr Azizul Ismail, Timbalan Pengarah JKKN, Norsyahrul Syafsaidatina Ismail, wakil Majlis Seni Sarawak, Easter Melebeh, serta ketua-ketua jabatan, agensi dan persatuan berkaitan dan peserta Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026.-EDISI UKAS