MATU: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela diteruskan menerusi pelaksanaan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya telah mengadakan lawatan pada Khamis bagi menyaksikan penyerahan rumah PPRMS yang telah siap dibaik pulih kepada lima penerima di kawasan berkenaan.
Menerusi program tersebut, kediaman penerima dinaik taraf melalui kerja-kerja pembaikan yang melibatkan komponen penting rumah, termasuk penggantian bumbung yang telah uzur.
Penambahbaikan berkenaan bukan sahaja membantu memperbaiki keadaan fizikal kediaman, malah memastikan penerima dan keluarga dapat menikmati persekitaran rumah yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada Datuk Dr. Juanda untuk meninjau sendiri hasil pelaksanaan projek selain bertemu dengan para penerima bagi mendapatkan maklum balas berhubung keadaan kediaman selepas kerja-kerja baik pulih selesai dilaksanakan.
Para penerima melahirkan rasa syukur dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak serta Datuk Dr. Juanda atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan.
Mereka menyifatkan bantuan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kualiti kediaman, malah memberikan ketenangan serta keselesaan kepada seluruh ahli keluarga.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah para penerima apabila kini dapat menikmati kediaman yang lebih sempurna dan selamat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup mereka.
Pelaksanaan PPRMS membuktikan keprihatinan berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, sentiasa diberi perhatian.
Inisiatif tersebut juga mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana golongan, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS