KOTA SAMARAHAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan memperkukuh kesiapsiagaan dan mekanisme tindak balas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan susulan keadaan cuaca panas, kering serta risiko jerebu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Samarahan, Kapt. (PA) Boniface Kilong Jimbat berkata, kerjasama bersepadu antara agensi penting bagi memastikan aspek kesiapsiagaan, penyelarasan dan tindak balas dapat diperkukuh khususnya dalam menghadapi ancaman berkaitan cuaca panas dan jerebu.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau kepada Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak di Pejabat Daerah Samarahan, pada Khamis.
Pertemuan berkenaan turut menjadi platform suai kenal selain membincangkan persiapan serta langkah kesiapsiagaan menghadapi keadaan cuaca panas dan kering yang berpotensi meningkatkan risiko jerebu serta memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Penyelarasan antara APM dan Pejabat Daerah Samarahan akan terus diberi keutamaan bagi memperkukuh keupayaan pengurusan kecemasan dan bencana di peringkat daerah.
APM Samarahan turut komited memperkasakan hubungan dengan agensi kerajaan serta pemegang taruh berkaitan bagi meningkatkan keupayaan pengurusan bencana dan memastikan khidmat terbaik dapat disalurkan kepada masyarakat.— EDISI UKAS