Pusat Operasi Bencana Lingga Diaktifkan Hadapi Musim Kemarau
LINGGA: Pusat Operasi Jawatankuasa Bencana Daerah Lingga telah diaktifkan sejak 27 Ogos lalu bagi memperkukuh pemantauan dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana sepanjang musim kemarau.
Pengaktifan pusat operasi itu membolehkan risiko dan kejadian bencana di daerah itu dipantau secara lebih berkesan, selain memastikan tindakan segera dapat diselaraskan sekiranya berlaku kecemasan.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana dan Wabak Daerah Lingga Bil. 1/2026 yang dipengerusikan Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Josephson Louis Nako, di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lingga, pada Khamis.
Mesyuarat juga meneliti tahap kesiapsiagaan agensi berkaitan dalam menghadapi situasi bencana, khususnya ketika keadaan cuaca kering dan musim kemarau yang sedang berlaku.
Beberapa agensi turut membentangkan laporan serta kes yang berlaku sepanjang tahun ini, termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Majlis Daerah Sri Aman.
Dalam pada itu, perbincangan juga mengambil kira pelbagai isu dan permasalahan penduduk di kampung yang dibangkitkan oleh ketua-ketua masyarakat.
Setiap perkara yang dibangkitkan diperjelaskan agensi berkaitan dan dibincangkan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya, terutama dalam aspek keselamatan dan kebajikan penduduk.-EDISI UKAS