28 Petani, Pengusaha Perikanan Darat Tiga Kampung Terima Bantuan AFF
KUCHING: Seramai 28 petani dan pengusaha perikanan darat dari Kampung Sungai Lumut, Kampung Sungai Batu dan Kampung Salak di sini, menerima bantuan input pertanian menerusi Program Peruntukan Fasilitasi Pertanian (AFF) dalam satu majlis di Dewan Sinaran, Kampung Sungai Lumut, di sini, pada Jumaat.
Majlis penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Penerima terdiri daripada pengusaha dari Kampung Sungai Lumut, Kampung Sungai Batu dan Kampung Salak, dengan 25 orang menerima bantuan peralatan dan input pertanian, manakala tiga lagi menerima bantuan bagi aktiviti perikanan darat.
Antara bantuan yang disalurkan kepada penerima ialah mesin pemotong rumput, penyembur berkuasa bateri, baja serta pelbagai input pertanian lain, manakala bantuan kepada pengusaha perikanan darat berupa makanan ternakan bagi menyokong aktiviti penternakan ikan dan udang.
Datuk Dr Abdul Rahman semasa berucap berkata, program AFF merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta membantu pengusaha mendapatkan peralatan dan input yang diperlukan untuk mengembangkan perusahaan masing-masing.
Selain itu, beliau turut menggalakkan golongan petani meneroka penggunaan teknologi moden termasuk dron dalam aktiviti pertanian bagi meningkatkan kecekapan kerja, khususnya dalam proses penyemburan baja dan pengurusan tanaman.
Menurutnya, penggunaan teknologi moden selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memodenkan sektor pertanian serta menarik lebih ramai masyarakat menceburi bidang berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Abdul Rahman berkata kawasan Pantai Damai mempunyai potensi besar untuk dibangunkan menerusi pelbagai aktiviti pertanian termasuk tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa pandan serta penanaman padi pada masa hadapan.
Bagi sesi penyerahan kali ini, Jabatan Pertanian Sarawak memperuntukkan sebanyak RM81,000, melibatkan RM75,000 bagi bantuan pertanian dan RM6,000 bagi bantuan perikanan darat.
Program tersebut merupakan siri kedua penyerahan bantuan AFF di kawasan DUN Pantai Damai selepas pelaksanaan pertama pada Mei lalu yang telah memberi manfaat kepada 142 penerima dari 13 kampung.
Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian yang mewakili Pegawai Pertanian Daerah Kuching, Shafizan Lasai.-EDISI UKAS