Jerebu: 647 Sekolah Di 12 Daerah Ditutup Sementara Dari 7-11 September 2026
KUCHING: Sebanyak 647 buah sekolah di 12 daerah di Sarawak akan ditutup sementara dari 7 hingga 11 September 2026 berikutan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di beberapa lokasi.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan penutupan itu melibatkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid dan 84 sekolah menengah membabitkan 90,082 murid di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong.
“Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah yang terjejas oleh fenomena jerebu selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016; Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata JPN Sarawak dalam kenyataan rasmi pada Jumaat.
JPN Sarawak turut mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi prosedur operasi standard serta garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan kesihatan dan keselamatan murid di kawasan yang terjejas akibat jerebu.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau tahap IPU melalui Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar – Air Pollutant Index Management System (APIMS) serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.
JPN Sarawak menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan sentiasa menjadi keutamaan.-EDISI UKAS