Anson Tiong Hadiahkan Emas Pertama Para Angkat Berat Sarawak
SELANGOR: Penampilan sulung Anson Tiong di pentas Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 membuahkan hasil apabila atlet berusia 19 tahun itu menghadiahkan pingat emas pertama buat skuad para angkat berat Sarawak menerusi kategori Lelaki 49 kilogram (M49 A).
Anson memastikan kedudukan teratas menerusi angkatan terbaik 97 kilogram pada percubaan ketiga selepas berjaya melakukan angkatan 91 kilogram dan 95 kilogram dalam dua percubaan terdahulu.
Kejayaan itu menjadi kenangan manis buat atlet muda Sarawak berkenaan yang pertama kali beraksi di pentas Para SUKMA, sekali gus memberikan suntikan semangat kepada skuad para angkat berat negeri dalam meneruskan cabaran pada temasya kali ini.
Dalam saingan pada Ahad, wakil Sabah, Myzos Majantin meraih pingat perak dengan angkatan terbaik 95 kilogram, manakala Roozaimi Johari dari Negeri Sembilan membawa pulang gangsa selepas mencatat angkatan terbaik 94 kilogram.
Anson yang mencatat berat badan 48.50 kilogram mempamerkan aksi konsisten sepanjang tiga percubaan untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas.
Sementara itu, Imran Wafi dari Negeri Sembilan menduduki tempat keempat dengan angkatan terbaik 90 kilogram, diikuti Sherwin Kumar dari Melaka (80 kilogram) dan Adam Milkail dari Selangor (65 kilogram).
Adam Arsyad dari Kelantan pula berada di tempat ketujuh dengan angkatan 61 kilogram, diikuti Kamarulaiman dari Selangor (48 kilogram) dan Svaarilaah dari Wilayah Persekutuan (40 kilogram). -EDISI UKAS